Oleh: Syed Ahmad Fathi
Malam itu Seetal datang ke mejaku. Mungkin dia bosan, atau mungkin dia sudah mengantuk jadi dia mencari kawan untuk berbual bagi menghilangkan rasa mengantuknya. Aku pun tidak banyak kerja berbaki, jadi aku layankan sahaja. Kerja shift sebelah malam sehingga dua pagi memang mengantuk, terutamanya dua jam terakhir, sampai bilik sewa pasti aku akan lelap terus saat kepala bertemu bantal.
Seetal bertanyakan tentang buku yang sedang aku baca, aku katakan bahawa aku membaca buku-buku non-fiction, pada masa itu aku masih berfikiran karya fiksyen ini kurang berfaedah, kerana apa gunanya membaca buku yang menyedihkan atau menggembirakan, jika ia semuanya adalah palsu dan rekaan? Bukankah itu sekadar escapism dari realiti dunia? Tapi malam itu Seetal tidak mengalah, dia tetap bercerita dengan penuh semangat novel yang dibacanya, yang pertama adalah The Pelican Brief tulisan John Grisham dan yang kedua The Kite Runner tulisan Khaled Hosseini. Dia bertanya sama ada aku berminat atau tidak, aku menjawab acuh tidak acuh sahaja kerana aku merasakan novel ini semua hanya membuang masa.
Aku kagum dengan Seetal, dia tidak berputus asa, keesokan harinya dia datang lagi, kali ini dengan dua naskah buku ditangan dan diserahkan kepadaku. Aku jadi serba salah, tidak ambil nanti seperti tidak sopan, jika diambil mestilah kena baca. Akhirnya aku ambil juga, dan sejak itu pandangan aku berubah terhadap karya fiksyen, tidak semua karya fiksyen patut dibakulsampahkan.
Sehingga hari ini jika ditanya siapa novelis kegemaranku, aku akan menjawab Khaled Hosseini, novelis yang berasal dari Afganistan yang bagiku sangat mendalam karya-karyanya. The Kite Runner sebagai contoh merupakan historical fiction, walaupun cerita utamanya merupakan fiksyen, sejarah yang menjadi background cerita tersebut adalah sejarah yang sebenar. Beliau membawa tema penindasan terhadap etnik Hazara di dalam novel ini, tema peperangan, juga tema-tema persahabatan, pengkhianatan yang sangat meresapi jiwa.
Buku kedua Hosseini yang aku baca turut dipinjam dari Seetal, A Thousand Splendid Suns. Ia merupakan pembelaan terhadap wanita-wanita Afghan, yang hidup dalam ketakutan, penindasan mereka baik atas nama agama atau budaya. Setiap helaiannya menggetarkan jiwa dan mencurahkan air mata, bagaimana kasih ibu mengatasi segalanya. Dan kini aku sedang membaca buku Hosseini yang ketiga, And the Mountains Echoed, kali ini bukunya aku beli sendiri di lambakan buku terpakai di Chowrasta Market, tempat kegemaranku mencari buku-buku murah.
Selain dari jalan cerita dan plot yang berjaya mencuri perasaan, ada satu gaya penulisan Hosseini yang aku perhatikan, iaitu beliau sering memetik puisi-puisi lagenda dari penyair terkenal sepanjang zaman seperti Rumi, Hafez, dan Omar Khayyam. Dari sini aku dapati, penulisan puitis Hosseini tidak dapat lari dari pembacaan beliau terhadap karya-karya lain, walaupun beliau menceritakan cerita-cerita moden. Disini kita melihat bahawa untuk sesuatu idea itu diketengahkan kepada masyarakat ia perlukan dua komponen, yang pertama penulis perlu membaca tulisan-tulisan sebelumnya agar dia boleh membentuk satu idea. Kedua, dia mestilah menulis supaya ideanya tadi sampai kepada masyarakat.
Jadi, inilah dua sayap kepada idea, membaca dan menulis. Sebenarnya ia bukanlah terbatas kepada karya fiksyen sahaja, penulisan akademik juga memerlukan literature review untuk menjadikannya akademik. Tiada kajian yang boleh dianggap kajian, terutamanya dalam dunia kajian moden hari ini jika ia tidak disertakan dengan rujukan, nota, dan citation. Hal ini sebenarnya merupakan warisan zaman-berzaman. Untuk sesebuah idea terus hidup setelah matinya golongan pemikir adalah idea itu kekal dalam lembaran-lembaran penulisan, tidak terhenti disitu, idea tersebut dibaca oleh pengkaji-pengkaji terkemudian.