Oleh: Farahani R.
Jika anda terjun ke dalam diskusi pensejarahan manusia versi aliran kemanusiaan, anda pasti lebih memahami peringkat pembangunan manusia ini dalam dinamik manusia sesamanya. Bila kita membaca buku sejarah, persoalan kemasyarakatan itu ditimbulkan tidak jauh dari implikasi keperluan kita sendiri untuk bersosial. Kerana itu, kita dianggap sebagai ‘binatang sosial berkaki dua’ oleh Socrates. Hari ini bila saya membayangkan Socrates dengan kesimpulan pendeknya mengenai manusia, saya akan memikirkan penguin pula.
Ketika saya sedang menunggu kuliah pertama dari Sir Paul Collier, saya sendiri tidak pedulipun apa latar akademiknya. Yang saya tahu, saya akan belajar sedikit tentang political economy dari seorang tua. Melihat silibusnya, saya ingatkan kelas tidak sesukar mana kerana ia ‘sepatutnya’ berkisarkan sejarah tamadun. Memandangkan bidang saya adalah sejarah, maka tidak tercapai di benak saya bahawa political economy adalah suatu perbatasan baharu.
Saya, sebagai budak sejarah, melewati perbatasan itu dengan teruk sekali! Inilah masalahnya apabila kita mengendahkan sempadan ilmu orang lain. Yang turut mengikuti kuliah tersebut kebanyakannya eksekutif, berpelajaran MBA dan para akademik, seorang dua merupakan usahawan perniagaan. Jauh sekali latar saya dengan mereka. Hanya memisahkan saya dengan mereka adalah saya yakin saya geliga. Cepat belajar, cepat faham.
Sejarah keganasan adalah sejarah rasional
Sir Paul Collier membayangkan pergerakan masyarakat dengan analogi empat kampung:
Daripada empat kampung ini, kita andaikan dua keadaan rasional dalam suatu komuniti yang boleh diukur iaitu dinamik kuasa (kuat/lemah) dan (produktif/tidak produktif). Pandangan ekonomi politik terhadap sejarah amat berbeza dengan imaginasi ketamadunan dalam bidang sejarah yang biasa.
Sir Paul Collier cuba melihat perkara ini sebagai scale economies of violence, dimana ia adalah cara untuk mengawal dan mengekalkan ekonomi dengan keganasan. Baru saya faham apa yang dikatakan oleh Rafizi Ramli dalam satu ciapan Twitternya mengenai keperluan adanya keganasan dalam sejarah. Ciapan itu berupa perbualan dengan seorang pemerhati ekonomi Malaysia, dikenali mesra sebagai Pak Khalid. Masa tu Fadiah Nadwa (peguam/aktivis) tersilap konteks lalu ‘menyerang’ Rafizi Ramli dengan mengatakan Rafizi inginkan keganasan.
Berbalik kepada Collier, andaian rasional ini menghujahkan perubahan apabila sebuah kampung yang kuat tetapi kurang produktif ingin ‘merampas’ hasil tani kampung di petak yang lain. Di situ saya tandakan V (untuk violent) manakala P untuk peaceful. Kefahaman perubahan sikap ini ditonjolkan dalam banyak ketamadunan silam, daripada komuniti kecil yang mengamalkan anarkisme lalu dipaksa-gabungkan oleh seorang maharaja lepas perang besar menjadi negara kesatuan yang megah. Daripada anarkisme, meneguhkan keperluan scale violence.
Mengandaikan kekuatan negara V tadi mampu mengugat kampung-kampung lain, Collier bertanya; “bagaimana kampung V yang kuat tadi harus mengawal kampung lain?” Saya jawab ‘kontrak sosial’. Hampir betul… cuma tidak tepat.
Percukaian dan polis
Ramai mengeluh mengapa harus ada cukai. Dalam ekonomi politik, percukaian adalah nadi kepada penyatuan masyarakat di bawah satu kekuasaan. Cukai membolehkan kesatuan mereka berfungsi, tanpa membebankan rakyatnya agar sumber kewangan mereka tetap ‘lestari’. Hujahnya lagi, rakyat yang sakit dan lemah juga tidak produktif jika beban cukai itu terlalu tinggi. Kembali beliau mengingatkan, andaian ini memakai rasionaliti dan bukannya contoh kejadian masa lalu.
Terpaksa saya menekup mulut; kejatuhan kerajaan-kerajaan banyak sekali melibatkan pemerintah yang tamak. Ibn Khaldun menganjurkan (Onder & Ulasan, 2018) perubahan sikap ini dalam bentuk putaran, dimana sebuah kerajaan yang baharu naik akan bertindak menggegar kawasan jirannya dengan semangat baharu. Ketamadunan muncul kerana semangat kebangkitan, lalu perlahan memanggilnya ‘pembangunan’. Terlalu selesa menjadikannya lemah semula kerana lalai. Kerajaan baharu akan muncul semula dengan semangat yang lebih kuat dari kerajaan tadi.
Collier memakai separuh daripada prinsip sejarah ketamadunan ini, dalam kaca mata bidang ekonomi politik. Sekali lagi, kesatuan kampung V tadi harus membayar cukai kepada pemimpin kampung V untuk mendapatkan perlindungan dan jaminan; mengandaikan pemimpinnya itu adil dan saksama. Perlindungan kepada askar dan keluarga jika ingin menyertai tenaga bala tentera, jaminan kepada para pembayar cukai bahawa keluarga mereka boleh tidur nyenyak tanpa khuatir diculik kampung sebelah.
Kebangkitan Feudalisme, perkongsian kuasa
Apabila kuasa menjadi semakin besar, tindakan paling rasional yang harus diambil oleh seseorang pemerintah adalah membiarkan sekumpulan kaya menjadi backers kepada kegiatan perluasan kuasa dan apa-apa yang memerlukan bantuan kewangan yang cukup. Sekali lagi, prinsip sejarah yang terbuku di akal membelenggu analogi ini. Saya diamkan saja dahulu – harus dengar siap-siap.
Sudah tentu Collier tidak membicarakan perihal wujudnya feudalisme dalam ekonomi politik, saya sengaja menyandarkan apa yang saya tahu dengan apa yang baharu saya tahu. Kata kunci Collier untuk memahami pergerakan ini sebagai:
“Untuk menjadi kuat, anda harus menjadi lemah.”
Di sini, perkongsian kuasa amat penting kemunculannya. Sama ada feudalisme atau demokrasi (Collier memberi contoh sejarah Eropah dan perkongsiannya menerusi perbincangan House of Lord), dimana pengawalan kuasa ke atas kesatuan tersebut harus diteguhkan oleh orang kaya dalam masyarakat tersebut.
Kita menjangkakan orang kaya ini memegang status sosial yang tinggi dalam pandangan masyarakat, lalu tiada salah seorang pemimpin yang memberikan sebahagian kecil pengurusan ke atas masyarakat yang dikawalnya. Secara rasionalnya, ia memudahkan pentadbiran dan pengaliran kewangan apabila ia dibincangkan kerana wujud juga unsur semak-dan-imbang. Pengagihan kuasa ini turut membolehkan pemimpin kesatuan tadi meminjam lebihan wang untuk kepentingan negara, seperti perang.
Poin ini juga menarik untuk diamati (nasiblah saya tulis petikan asalnya). Collier turut menyebut istilah khusus dalam isu peminjaman lebihan wang ini, namun saya tidak berkesempatan melanjutkan persoalan kerana lebih berminat memikirkannya sendiri. Beliau berpandangan bahawa kebanyakan pemimpin yang berkongsi kuasa dengan aristokrat ini selalu mengamalkan time-consistency problem:
“An incentive to make a promise, but not to keep it.”
Pemimpin ada kuasa untuk berjanji, tapi bukan untuk memenuhi janji tersebut. Jika ada aristokrat meminta janji itu, maka ini amatlah bergantung pada budi bicara pemimpin tersebut. Collier kata, aristokrat pun biasanya tidak berani meminta raja menunaikan janji. Namun tatkala jenaka itu mampir di kepala, saya berfikiran bahawa di sinilah kejatuhan kerajaan biasanya terjadi. Collier tidak menghuraikan lagi mengenai pemberontakan yang mungkin berlaku selepas janji raja cuma janji tebu tepi bibir.