Oleh: Inche Faris

Hari ini adalah antara hari yang tidak dapat aku gambarkan melalui penulisan mahupun percakapan, kerana ia adalah soal percampuran perasaan yang bermain di ruangan-ruangan hati.

Kami adalah pelajar jurusan kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berpeluang untuk mengadakan sesi kaunseling berkumpulan bersama para pelajar Sekolah Integriti Penjara di Marang, Terengganu. Untuk sebahagian daripada kami pelajar tahun pertama pengajian, tentu merupakan satu pengalaman yang mencabar buat diri kami yang masih mahu berjinak-jinak dengan dunia bimbingan dan kaunseling.

“Gulp.”

Kami menelan air liur sebagai tanda kerisauan dan sedikit ketakutan dalam diri kami apabila mendengar taklimat dan perkongsian dari guru yang bertugas dan berkhidmat di sekolah penjara tersebut. Terutama bagi peserta perempuan, mereka diberi amaran dan arahan untuk sentiasa menjaga diri dan berhati-hati, dari sudut pemakaian hinggalah kepada perilaku peribadi.

Seribu persoalan bermain di benak fikiran kami apabila memikirkan tentang apa yang perlu kami lakukan untuk aktiviti kami bersama para pelajar tersebut. Malam itu adalah malam yang agak memenatkan, fizikal dan mental. Aku dan beberapa rakan sebilik yang lain terus membelek fail yang diberikan untuk melihat semula modul-modul dan modus operandi.

“Nak buat apa eh esok?”

Aku masih lagi buntu, kerana aku tahu bahawa teori-teori yang memenuhi fail tersebut tentu sama sekali tidak akan sama dengan pengalaman sebenar apabila berhadapan dengan mereka nanti.

Maka hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba.

Dan persoalan-persoalan semalam masih lagi berbaki tidak terjawab.

“Jom gerak.”

Mesej masuk dalam peti Whatsapp.

Kami melangkahkan kaki keluar dari pintu bilik, membawa bersama pelbagai emosi. Beratur dan berjalan menuju tempat pemeriksaan sebelum masuk ke sekolah penjara tersebut. Semakin dekat semakin berdebar. Polis pun mengelilingi kami dengan pakaian cukup lengkap dan penuh bergaya.

Kami mula agak sedikit lewat, mungkin kerana masalah teknikal yang mengganggu kelancaran perjalanan program. Apabila terlengah masa lebih kurang satu jam lewat, ada antara kami yang sudah mula risau dan memikirkan apakah sempat atau tidak untuk meluangkan masa secukupnya bersama para pelajar nanti.

Setelah selesai pembukaan majlis, aku dan seorang peserta perempuan pergi untuk mencari mana-mana kumpulan yang belum ada kaunselor. Maka kami akhirnya memilih kumpulan pelajar yang berdekatan dengan pintu. 4 orang lelaki semuanya, yang lebih kurang sebaya sahaja dengan aku. Namun kami dinasihati agar menggelar diri sebagai cikgu atau abang/kakak supaya mereka dapat merasakan bahwa kami ini lebih dewasa daripada mereka.

“Assalamualaikum. Nama saya Faris Akmal. Boleh lah panggil cikgu Faris atau abang Faris.”

Sambil mengukirkan senyuman, aku memperkenal diri kepada mereka.

Setelah setiap daripada kami memperkenal diri masing-masing, setelah keadaan telahpun tenang dan seperti mengizinkan kami untuk terus berbicara, maka kami teruskan dengan modul pertama sesi kaunseling berkumpulan bersama mereka iaitu melalui terapi seni. Dengan kertas lukisan yang mereka ada, mereka harus melukis di atasnya tentang apa sahaja yang menggambarkan diri mereka.

Setelah itu, mereka perlu berkongsi kepada kami semua tentang makna-makna yang tersirat dan tersurat di sebalik imej/simbol yang telah mereka lukiskan.

Ketika mereka mula berkongsi cerita dan kisah hidup mereka, dengan pelbagai reaksi yang ada pada wajah mereka, aku mula mendiamkan diri. Keadaan seperti beku buat seketika kecuali mereka yang sedang bercerita.

Sejujurnya, aku sendiri tidak tahu apakah respon terbaik yang harus aku berikan tatkala satu demi satu cerita sampai kepada diriku.

Berat rupanya rasa menanggung cerita-cerita dahsyat tentang orang lain.

Hingga tiba kepada kemuncak sesi kaunseling, mereka diarahkan untuk melukis sebuah pintu atau tingkap pada kertas lukisan baharu yang mereka terima. Melodi latar belakang mula dimainkan, apabila mereka mula menggenggam pensel dan krayon untuk melukis peluang-peluang yang mereka nampak apabila keluar sahaja dari sekolah penjara ini, untuk melukis harapan-harapan dan cita-cita yang mereka gantung tinggi di langit-langit mimpi, juga untuk melukis tentang orang-orang pertama yang ingin mereka temui nanti.

Aku memandang wajah mereka satu persatu, melihat lukisan-lukisan mereka yang memberi makna yang besar pada hidup mereka – dan perlahan-perlahan air mataku mula bergenang di kelopak mata, mengalir membasahi sedikit bahagian dari wajahku. Aku termenung buat seketika.

Persoalan-persoalan membunuh mula datang,

“Apa yang aku harus buat untuk membantu mereka?”

“Bagaimana dengan mereka yang tidak tertangkap di luar sana? Apakah mereka dijaga dengan baik, pendidikan, kesihatan dan pembinaan peribadi mereka?”

“Bagaimana mereka nanti, apabila kami pulang semula ke kampus?”

Persoalan-persoalan ini terus menghantui hingga kini. Berbekalkan pengalaman menjadi guru di sekolah rendah dan sekolah menengah untuk beberapa bulan, melayani karenah murid-murid di sana dengan masalah-masalah peribadi mereka mengajarkan aku tentang bagaimana caranya untuk mengawal emosi dan perilaku diri sendiri apabila berhadapan dengan mereka yang ingin aku bantu.

Suka untuk aku nyatakan beberapa poin penting yang menjadi punca atau faktor kepada keterlibatan pelajar ini dalam masalah mereka dan seterusnya membawa mereka ke dalam sekolah penjara ini:

  1. KELUARGA

Institusi keluarga merupakan sebuah institusi yang menjadi teras kepada pembinaan masyarakat yang hidup dalam suasana yang baik dan harmoni. Oleh itu, jika institusi penting ini tidak berjaya dalam menghidupkan peranan-peranannya dalam membentuk sebuah keluarga yang proaktif dan produktif, maka mereka tidak akan dapat menyumbangkan apa-apa kepada pembentukan masyarakat melainkan menambah beban dan mungkin memperlambat lagi progress masyarakat dalam menjadi masyarakat yang bertamadun dan bernilai tinggi. Apabila kita berbicara tentang keluarga, bukanlah sahaja si ayah dan si ibu yang memainkan peranan mereka, akan tetapi setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan mereka dengan baik dan bertanggungjawab.

  1. KAWAN

Pepatah kata ‘berkawan dengan penjual minyak wangi maka akan dapatlah wanginya, dan berkawan dengan tukang besi akan mendapatlah jelaganya’ perlu kita terjemahkan dalam bentuk realiti dan bukan hanya retorik semata. Rata-rata dalam kalangan mereka yang bermasalah ini mula terjebak dengan masalah yang besar apabila mereka pada awalnya tersilap langkah dalam memilih kawan. Sejak dari bangku sekolah, apabila ibu bapa dan para pendidik gagal dalam mendidik mereka untuk bijak dalam memilih rakan, maka mereka akan memilih rakan yang salah dan seolah-olah seperti terikat dengan rakan-rakan tersebut hingga sanggup mencuba apa sahaja yang baharu walau mengetahui kesan dan akibat yang mendatang. Kerana itu setiap pihak yang ada perlu bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sejak dari usia yang kecil, tentang bagaimana untuk berkawan dan untuk memilih kawan.

  1. MASYARAKAT

Ada seorang dari pelajar kami yang menceritakan tentang betapa sakitnya dia untuk berjuang menghadapi tanggapan-tanggapan kurang baik dari masyarakat terhadap dirinya, bahkan di surau sekalipun dia menerima pandangan berbaur negatif daripada mereka. Ini adalah penyakit kronik yang ada dalam diri masyarakat kita, dan tugas kita sekarang adalah untuk merawat penyakit ini hingga ke akar umbinya. Masyarakat seharusnya menjadi sebuah sistem sokongan kepada setiap individu yang lahir ke dunia, dengan tidak memandang kira dari manakah ia datang, atau bangsa apakah ia, atau kepercayaan apa yang ia anuti, atau kesalahan apa yang telah ia lakukan. Masyarakat yang saling mengasihi dan mencintai antara satu sama lain, mampu menjadi batu-bata yang kukuh dalam mendirikan sebuah bangunan tamadun yang agung dan penuh dengan nilai manusiawi.

Penghujung sesi kaunseling adalah perkara yang memberatkan hati, untuk meninggalkan mereka dalam keadaan mereka masih punya persoalan-persoalan yang menanti jawapan dari kami, untuk meninggalkan mereka ketika sedang asyik berbincang mengenai masa depan dan harapan.

Di akhirnya aku sedar, bahawa sejauh manapun kita melakukan kesalahan, sebanyak manapun dosa yang telah kita penuhkan dalam buku catatan amalan, sesakit manapun kita jatuh tersungkur kerana gagal dalam hidup – sentiasa percaya bahawa di hujung terowong yang gelap, pasti ada cahaya yang menerangi. Bahawa di setiap bahagian hidup yang gelap, pasti cahaya harapan akan menemani langkah-langkah kita walau sesukar manapun keadaan menekan kita, walau takdir seakan-akan tidak menyebelahi kita. Percayalah, selagi mana kita terus percaya pada Tuhan, selagi itu Tuhan akan sentiasa bersama kita walau dunia memusuhi kita.

Masuk penjara bukanlah bermakna hancur dan musnah terus kehidupan. Tidak, dan tidak akan pernah sebegitu. Peluang untuk berubah itu sentiasa hadir pada hati-hati yang terus kuat berjuang, walaupun kadang-kala kita seringkali terjatuh pada lubang yang sama berulang kali.

Salam juang dari kami buat kalian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *