Oleh: Farahani R
Malaysia. Kita boleh memilih untuk bertengkar pasal Perjanjian Malaysia 1963, dan peristiwa belakang tabir yang berlaku antara kepala pemimpin Borneo dengan Tunku Abdul Rahman pada waktu itu. Kita boleh memilih untuk bertelagah pasal hak-hak istimewa yang dipersetujui Persekutuan Tanah Melayu dengan koloni Borneo. Kedua-dua perkara ini tidak begitu sulit untuk dibicarakan kerana ia adalah peristiwa sejarah lalu.
Malaysia. Kita mengakui bahawa tanpa mana-mana negeri yang sedang wujud di bawah bendera Jalur Gemilang, Malaysia akan lumpuh. Sistem federal menjadi asas pemangkin keberjayaan Tanah Melayu-Borneo sehingga kini. Namun begitu, rakyat kedua-dua kepulauan ini terpisah secara geografinya. Oleh sebab inilah, perkembangan mentaliti orang kurang peka pada keterpisahan ini jarang diakui ramai.
Tidak ramai tahu mahupun sedar, sebenarnya wujud perbezaan pemikiran masyarakat Malaysia antara dua kepulauan ini. Dalam tulisan ini, saya tidak akan sentuh mengenai pembangunan fizikal. Saya hanya akan berlegar pada satu soalan: mengapa segelintir rakyat Semenanjung Malaysia masih tidak (mahu) tahu Sabah dan Sarawak dalam Malaysia?
Di Borneo, kami tidak begitu rasa kehadiran monarki perlu untuk keberjayaan bangsa. Kami juga tidak begitu rasa kehadiran takrif ummah sebagai keberjayaan Islam. Di Borneo, persaudaraan itu melangkaui jurang bahasa, etnik dan asal tempat. Persaudaraan itu disulami dengan sangka baik, suatu medal yang dijulang oleh rakyat Borneo.
Sebab pertama: Ketidaktahuan orang Semenanjung Malaysia hanya dihubungkan dengan paparan media terhadap Sabah dan Sarawak. Media paparkan Gunung Kinabalu, Tugu Kuching dan hutan dara Borneo serta tarian tradisional bertatahkan bahan alam semulajadi. Maka budaya Sabah dan Sarawak diperlihat sebagai suatu adat lama yang tidak terganggu, sungguh eksotik dan ‘ketinggalan’.
Sebab kedua: Sejarah pertapakan British di Tanah Melayu dan Borneo bergerak bukan pada kadar dan paksi yang sama. Jika di Tanah Melayu, pejuang terdahulu perlu Islam sebagai kenderaan besi melanggar Residen; maka di Sabah dan Sarawak, pejuang terdahulu cuma perlu berdarah sakti dari etnik perwira hutan dan sungai. Jadi sentimen agama itu tidak berjalan sekaki setangan.
Sebab ketiga: Semenanjung Malaysia bangga mampu berpadu dengan diversiti tiga bangsa, yang mana ramai masih melihat hujung Perlis adalah Melayu dan hujung Johor adalah Melayu. Namun manusia biasanya tahu apa yang dia nampak dan kenal. Maka kerana itu saja diperhatikan sebagai Malaysia (diwakili 3 kaum dominan), ‘Sabah dan Sarawak’ dipadamkan sebagai ‘entah Kadazan Iban’ atau disenaraikan ‘lain-lain’ dalam borang, seolah sekadar menumpang di Malaysia. Jadi kerana Malaysia itu dibina dahulu dengan Persekutuan Tanah Melayu lalu seluruh Tanah Melayu itulah (dianggap) Malaysia. Itulah persepsi gelintir yang enggan menoleh ke Timurnya.
Sebab keempat: Kerana etnik itu sudah sebati dengan pembinaan watak dan identiti masyarakat Borneo, jadi apabila mahu dibangsa-Melayukan semuanya, orang Borneo tidak mahu. Perkara ini akhirnya terputus faham begitu saja. Tiada sambungan keinginan faham mengapa Borneo lebih suka kekal dengan etniknya.
Sebab kelima: Mungkin salah pendidikan? Atau mereka hanya kurang sebab untuk peduli?
Pendidikan tidak harus disebutkan sebagai instrumen gagal dalam hal ini. Segelintir mereka yang masih sempit pengetahuan tempatan cuma tidak diberi sebab untuk peduli.
Sebab untuk tidak peduli; ya, Borneo tidak ditindas kerana ada orang beragama Islam. Yang Dipertua Negeri juga bukanlah darah raja Melayu, anak-anak cucu-cicit pada Raja Melaka dulu-dulu. Selain dari ‘sumandak cun’, ‘bossku bossmu bossnya’ dan ‘OK kah bah’, rasanya tiada benda mereka ini harus peduli pada hakikat kecil bahawa Sabah dan Sarawak itu membentuk Malaysia. Tidak semata-mata menyertai, tidak semata-mata memusatkan hak ekonomi ke Putrajaya.
Sebab untuk tidak peduli; orang Melayu secara politiknya agak kabur dengan bagaimana budaya pemikiran di sini. Paling melucukan adalah proses hegemoni budaya yang hanya berjaya apabila dilaksanakan secara agresif melalui campur tangan elit politik nasional.
Kaamatan Islamik, kempen nyah perkara hiburan, memfailkan laporan polis mengenai acara Kristian yang dikhaskan untuk Kristian di padang terbuka – satu proses Islamisasi dramatis untuk mewajah-rupakan diri sebagai pejuang Melayu-Islam di tanah Borneo. Apa mereka ini melihat tanah bawah bayu ini a Godless Borneo? Integrasi perpaduan organik tidak tercela, sepertimana yang dibayang-bayangkan oleh segelintir Islamis Melayu di Borneo.
Semua ini tidak mengundang apa-apa kecuali marah orang Borneo kerana memaksakan kebenaran bagi dirinya pada diri orang lain. Simpati pun tidak, empati pun saya harus berkerut dahi dahulu.
Untuk menutup tulisan ini: apa yang perlu untuk menangani sikap tidak peduli ini, kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak adalah negeri dalam Malaysia yang tidak didiami Melayu-Islam sepenuhnya. Sabah dan Sarawak perlu dihormati secara budaya dan (identiti) politiknya iaitu berdasarkan etnik sebagai lain dari yang lain berbanding Malaya namun tidak keluar dari ruang sosiopolitik seMalaysia.
Sabah dan Sarawak juga perlu dibedah idea budaya, faham dan kepercayaannya, harus diketahui mendalam dengan penuh adab (tidak dilayani seperti monyet eksperimental) sebagaimana kita disuruh meneroka adat dan sejarah tradisi orang Melayu ketika di bangku sekolah.