Oleh: Syed Ahmad Fathi

Dikisahkan oleh D’Amato dalam kitabnya berkenaan dengan Revolusi Portugis pada tahun 1975, keluarga-keluarga miskin di sebuah pekan kecil Bairro da Boavista yang terletak di pinggir Lisbon berpindah masuk ke satu kawasan perumahan yang dibiarkan kosong selama tiga tahun. Sebuah pasukan tentera diarahkan untuk mengosongkan semula perumahan tersebut dan menghalau penduduk miskin kembali ke pondok-pondok usang mereka.

Seorang pegawai tentera yang mengetuai pasukan tersebut memulakan langkah pengusiran dengan memilih sebuah keluarga yang paling lemah, baginya ini merupakan permulaan yang paling mudah bagi proses pengusiran. Keluarga itu adalah keluarga seorang janda tua bersama enam orang anak, mereka baru sahaja berpindah masuk ke rumah berbilik dua yang mempunyai bekalan elektrik.

Janda tersebut berkata “Lebih baik engkau tembak dan bunuh saja diriku di sini. Seumur hidupku, aku hanya hidup berlantaikan tanah, sekurang-kurangnya sekarang aku akan mati di atas lantai yang baik”.

Pegawai tersebut terkesima dan berfikir. Di luar rumah tersebut, orang-orang miskin mula berkumpul, lelaki, wanita, kanak-kanak, mereka semua berkumpul bagi melawan pengusiran paksa dan untuk berbincang dengan pihak tentera.

Mereka berkata “Pekan ini boleh jadi merupakan tempat tinggal kamu! Ingatlah wahai tentera, bahawa kamu juga sebahagian dari rakyat jelata! Halakan senapangmu kepada mereka yang menindas rakyat, golongan spekulator bukan kepada saudara-saudaramu sendiri!”. Pegawai tersebut faham, dia kemudian meninggalkan penduduk itu di situ, dan beredar bersama pasukannya.

Kisah janda dari Bairro da Boavista ini merupakan tema biasa yang akan kita dapati dalam literatur kiri, yang menekankan punca kuasa adalah dari rakyat, orang kebanyakan, orang miskin, golongan tertindas, masyarakat biasa. Tak kira apa pun struktur pemerintahan, ia akan cair dan lebur apabila punca kuasa berhenti memberi kepercayaan. Ia memberi kita kekuatan dan semangat bila kita melihat suasana politik hari ini dan berasa seolah-olah harapan telah tiada.

Jika baca thesis Bruce Bueno de Mesquita dalam Dictators Handbook, yang merupakan buku yang sangat realis dalam membincangkan wacana politik Machiavellian, untuk dapat kuasa dan kekal berkuasa perlu mempunyai loyalti dari tentera dan polis, tanpa mereka mana-mana kuasa akan gagal. Begitulah cerita jatuhnya Mubarak di Mesir, idea popular menyatakan kejayaan awal revolusi Mesir adalah disebabkan kuasa rakyat, tetapi tentera Mesir membiarkan rakyat menjatuhkan Mubarak, ia berjaya kerana direstui tentera. Tetapi revolusi Mesir akhirnya gagal apabila tentera mengambil semula kuasa dari rakyat apabila kedudukan mereka tercabar, dan kali ini tentera tidak bersama kuasa rakyat, maka kembalilah mereka ke era diktator episod kedua.

Kisah janda dari Bairro da Boavista memberitahu kita bahawa tentera juga adalah sebahagian dari rakyat, dan mereka adalah penentu. Oleh itu kebangkitan rakyat perlu membangkitkan tentera bersama jika mereka ingin berjaya, tentera juga adalah rakyat. Sebab itu sejarawan seperti Howard Zinn menulis berkenaan dengan “Revolts of the guards” dalam karya monumental beliau berkenaan dengan sejarah rakyat Amerika. Jika institusi yang menguatkuasakan pemerintahan seperti polis dan tentera sedar dan bersama rakyat, maka kuasa akan bertukar tangan.

Parti politik, negara, kuasa, undang-undang, semuanya adalah “fictional reality” menurut Yuval Hariri, ia tidak wujud secara fizikal, ia akan hilang apabila manusia berhenti mempercayainya. Ia tidak wujud seperti pisang, yang mana akan kekal wujud kalaupun kita memilih untuk percaya pisang tidak wujud. Sebab itu untuk pemerintahan, perhambaan, penindasan, terus dan berterusan ia memerlukan organ-organ yang sentiasa menanam kepercayaan dalam minda rakyat bahawa mereka diperlukan, organ ini termasuklah persekolahan, institusi agama, undang-undang, media, semuanya akan digunakan untuk menanam kefahaman bagi mendokong kekuasaan.

Tetapi jika kita semua berhenti mempercayai mereka, seperti al-kisahnya seorang janda dan pegawai tentera di Bairro da Boavista, kuasa mereka akan hilang dalam sekelip mata, seperti hilangnya embun pagi apabila matahari membuka mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *