Oleh: Cucu Megat
Penaklukan demi penaklukan, kota-kota pula dirompak dan dimusnahkan. Siapa yang lebih kuat, dialah yang paling berkuasa. Para lelaki muda mahupun tua dikerah bekerja, direkrut menjadi tentera dan dijadikan hamba untuk golongan yang lebih berkuasa. Kedudukan wanita pula sangat rendah akibat patriakisme yang begitu tebal. Orang-orang kecil terpaksa mencari perlindungan daripada orang-orang yang memiliki lebih kuasa. Demikianlah suasana di Eropah ketika Zaman Gelap (Dark Age), pada masa bermulanya era Feudalisme di Eropah.
Zaman Gelap adalah manifestasi kegelapan tamadun, kehilangan cahaya ilmu pengetahuan dan lemahnya ekonomi. Makna kata di sini, kemakmuran dan kenikmatan yang pernah dilewati orang-orang Eropah pada Zaman Klasik mereka telah menghadapi keruntuhan. Rom sebagai kuasa di Eropah berjaya membina empayar yang cukup luas dan pernah melahirkan ramai tokoh besar sepanjang kemakmurannya. Idea-idea tentang sains, undang-undang, politik, ekonomi, falsafah, kesusasteraan dan kesenian tersebar di bawah naungan empayar ini.
Seusai sahaja keruntuhan empayar Rom pada sekitar kurun ke-5 Masihi, terbuka tirai sejarah baharu di benua tersebut, iaitu Zaman Pertengahan (Middle Age/Medieval). Zaman ini berlangsung selama kurang lebih seribu tahun lamanya. Adapun Zaman Gelap pada abad ke-4, merupakan pembuka bagi Zaman Pertengahan. Manakala Zaman Kemuncak adalah penghujung bagi Zaman Pertengahan. Zaman Pertengahan berakhir digantikan Zaman Moden Eropah.
Orang-orang Arab menghadapi ketamadunan yang lebih tinggi pada waktu yang sama di belahan dunia yang lain. Bangsa-bangsa lain yang telah memeluk Islam bersama orang-orang Arab menguasai persisiran Sepanyol dan jalan perdagangan Laut Mediterranean. Sementara orang-orang Viking dan Magyar membuat onar dan penaklukan di bahagian-bahagian lain di Eropah. Penduduk Eropah semakin terkepung, ini memberi kesan langsung kepada kegiatan ekonomi dan institusi-institusi sosialnya. Perdagangan jarak jauh menjadi tidak selamat. Walaupun ada interaksi dengan dunia luar, namun ia lebih kerap lewat perang, lebih-lebih lagi pada era Perang Salib.
Tidak ada kuasa tunggal selepas kejatuhan Empayar Rom. Ini juga bermakna tiada lagi seorang manusia paling berkuasa menguasai setiap inci tanah yang ada. Hanya tinggal kerajaan-kerajaan kecil yang terbentuk daripada hasil penaklukan kelompok yang lebih kuat. Tanah-tanah mula dibahagikan kepada tanah raja, tanah gereja, estet-estet persendirian yang dimiliki oleh orang besar dan tanah-tanah ladang kecil milik petani bebas. Keadaan ini menandakan struktur masyarakat yang melihat ‘tanah adalah segala-galanya’.
Dari sinilah Sistem Feudalisme mula terbentuk di Eropah. Satu sistem yang sangat menindas dan mengekang mobiliti sosial warganya. Susun lapis masyarakat Eropah umumnya terbahagi kepada dua golongan dalam sistem ini – golongan memimpin dan golongan dipimpin atas faktor pemilikan dan kuasa terhadap tanah. Dalam satu hierarki yang berbentuk piramid, raja atau pemimpin utama terletak dalam lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau lebih dikenali orang Eropah sebagai Vassal. Bangsawan yang lebih tinggi statusnya diberikan gelaran Count dan Duke. Diikuti pula bangsawan yang digelar sebagai Baron. Di bawah lapisan kedua, adakalanya wujud bangsawan lapisan ketiga. Misalnya golongan Knight atau kesatria yang bertugas melindungi keselamatan raja dan bangsawan berpengaruh, turut dikurniakan tanah.
Tiap-tiap bangsawan mempunyai wilayah dan tanah kurniaan. Biasanya bangsawan ini dilantik kerana kepentingannya kepada raja atau kerana kekuatannya yang berdaya menjaga keselamatan mahupun menentang raja. Petani-petani bebas yang kuat ada juga yang dilantik. Bangsawan-bangsawan ini berkuasa sebagai tuan tanah ke atas setiap individu rakyat yang menetap di situ.
Manakala terbentuk pula golongan terbanyak yang dikenali sebagai Serf. Mereka wujud daripada rakyat petani biasa yang dipimpin dan dijadikan tenaga kerahan oleh tuan tanah. Mereka bukan hamba, tapi tidak juga bebas sepenuhnya. Kehidupan mereka terikat dengan tuan-tuan tanah ini, malah tidak dapat berpindah ke tempat lain sesuka hati. Mereka perlu menghasilkan pendapatan dan kekayaan untuk tuan masing-masing dan perlu mentaati perintah. Namun, ragam penghasilan feudal ini harus dibezakan daripada ragam penghasilan hamba. Para hamba dimiliki oleh seorang tuan yang menjadi pemilik hamba tersebut. Manakala ragam penghasilan feudal berbeza daripada ragam penghasilan para petani bebas dan buruh bergaji.
Golongan Serf menanam dan menternak binatang untuk keperluan sendiri (sara diri) di atas tanah yang telah diperuntukkan oleh tuan tanahnya. Sebagai balasan, golongan Serf perlu memberi khidmat dengan mengerjakan tanah mengikut keperluan tuan tanah pula. Seandainya berlaku perang, golongan Serf perlu menjadi sebahagian daripada kerahan tentera oleh pemimpin atau tuan tanah. Lebih teruk lagi, Serf juga perlu membayar cukai kepada tuan-tuan tanah mereka. Malah, golongan Serf yang didapati melakukan kesalahan dikenakan heriot, iaitu sejenis denda yang ditentukan oleh tuan tanah.
Hubungan antara Serf dan tuan tanah masih lagi bersifat dua hala. Ianya berlangsung secara bertimbal balik apabila setiap pihak memahami tanggungjawab masing-masing, iaitu pemimpin memberi perlindungan dan yang dipimpin pula menumpahkan kesetiaan dan rela memberikan khidmat. Mereka saling memerlukan, walaupun hakikatnya hubungan ini tidaklah adil pada satu pihak.
Bagaimana pula dengan golongan raja? Pada umumnya, raja memang diletakkan dalam hierarki tertinggi dalam sistem ini apabila para bangsawan memberi sumpah taat setia kepadanya bagi menerima tanah kurniaan. Namun, lama-kelamaan kuasa raja menjadi berkurangan kerana perlu berkongsi dengan golongan bangsawan. Para bangsawan menerima autonomi walaupun mereka perlu setia kepada seorang raja.
Bangsawan-bangsawan ini telah mempunyai wibawa di wilayah masing-masing. Bahkan pernah terjadi pergolakan apabila golongan raja dan sebahagian golongan bangsawan saling bersengketa dalam merebut kekuasaan. Pada akhirnya, ikatan-ikatan khidmat dan perlindungan yang sepatutnya dalam hubungan menegak digantikan dengan ikatan-ikatan dalam hubungan menjaga kepentingan bersama yang mendatar.
Dalam keadaan politik yang tidak stabil dan kurangnya kemajuan dalam kegiatan ekonomi, institusi Gereja Katolik mengambil peluang meluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Eropah. Hanya sebuah agama yang mengajarkan ritual dan penyucian jiwa, akhirnya muncul sebagai sebuah kuasa yang berasingan dari golongan raja dan bangsawan. Pengaruh Gereja Katolik merangkumi semua aspek kehidupan, sebagaimana ajaran Kristian itu sendiri. Dengan kata lain, Gereja Katolik adalah wajah fizikal kepada sebuah agama yang telah diinstitusikan.
Kewujudan Institusi Gereja ini tidak membantu kelas bawahan untuk meningkatkan mobiliti sosial mereka. Bahkan Gereja menjadi agen yang mengabsahkan Feudalisme. Menjadi satu norma dalam masyarakat Feudal, seorang bangsawan akan melahirkan seorang bangsawan yang akan mewarisi tanah, tenaga kerja dan tenteranya. Sebagaimana seorang raja, akan melahirkan raja-raja yang memerintah secara monarki. Demikian juga dengan para petani, sesiapa yang dilahirkan dari rahim seorang petani maka jelas takdir dirinya seorang petani.
Telah diterima sebagai suatu lumrah, bahawa sebilangan orang akan dilahirkan sebagai bangsawan sedang orang lain dilahirkan sebagai hamba pula. Samalah seperti pembahagian buruh di antara lelaki dan wanita di desa-desa, ia dianggap sebagai satu aturan alam. Inilah aturan yang dipengaruhi oleh nilai yang diabsahkan oleh Gereja tadi. Adalah hampir mustahil untuk seorang petani biasa atau golongan serf berkahwin dengan seorang bangsawan, melainkan sesuatu perkara luar biasa dan istimewa telah berlaku.
Pergerakan mobiliti sosial adalah minimal. Status seseorang akan ditentukan oleh keturunan semata-mata. Tiada makna bagi seseorang serf berusaha keras di ladang-ladang untuk meningkatkan taraf hidupnya. Jasad mereka benar-benar terkepung dalam kongkongan sistem, nilai dan norma. Sementara golongan raja dan bangsawan senantiasa hidup dalam menghisap keringat rakyat melalui hasil tani dan cukai, dihalalkan pula oleh para agamawan di institusi Gereja.