Oleh: Syed Ahmad Fathi

Jika hendak dirumuskan kitab Economyth tulisan David Orrell, saya akan katakan ia sebagai manifesto sistem ekonomi baru. Orrell mencabar aksiom-aksiom ekonomi konvensional yang masih berkiblatkan teori neo-klasikal yang sudah terbukti pada banyak ketika gagal menyelesaikan masalah manusia. Orrell yang merupakan ahli matematik mengkritik pemahaman ekonomi yang dilindungi oleh persamaan-persamaan matematik yang kelihatan kompleks dan tidak difahami oleh orang awam, persamaan yang begitu akademik, matematikal dan teoretikal, gah di dalam kertas-kertas perbentangan dan konferens, tetapi gagal dari sudut praktik. Masyarakat awam dilarang memahami ekonomi dengan menyembunyikan aksiom-aksiom ke dalam persamaan matematik yang diasaskan dengan pelbagai andaian yang tidak wujud dalam dunia realiti.

Kita diberitahu untuk mempercayai ‘pakar-pakar ekonomi’ untuk mentadbir ekonomi, tetapi pakar-pakar ini gagal menghalang kegawatan dan krisis ekonomi. Antara yang terbaharu adalah kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat pada 2008-2009 yang menyaksikan bank-bank besar seperti Lehman Brothers, Bear Stearns dan Merrill Lynch gulung tikar dan hampir membawa seluruh ekonomi lumpuh. Hanya beberapa bank seperti Goldman Sachs dan Morgan Stanley terselamat dari krisis ini, itu pun selepas ia diselamatkan oleh kerajaan menggunakan duit rakyat dengan pakej bail-out berjumlah 700 billion US Dollar. Krisis ini ditulis semula kisahnya oleh Michael Lewis dalam bukunya The Big Short, yang kemudiannya diterbitkan sebagai filem pada tahun 2015 dibintangi oleh Christian Bale.

Antara solusi kepada masalah ini adalah sistem modular ataupun compartmentalization yang memisahkan bank komersil dengan bank pelaburan. Inilah yang cuba direalisasikan oleh Glass-Steagall Act pada tahun 1933, namun dimansuhkan pada tahun 1999, bagi mengelakkan kewujudan institusi yang terlalu besar atau too big to fail. Dengan pemisahan dalam sistem modular, menurut Orrell, bank pelaburan yang terlibat dalam aktiviti pelaburan risiko tinggi boleh gagal tanpa menggagalkan bank lain yang mengurus wang pendeposit. Ia akan menjadikan sistem perbankan kurang effisien tetapi lebih selamat. Ha-Joon Chang dalam bukunya membawa kepada kesimpulan yang sama bahawa sistem perbankan perlu dijadikan ‘kurang efisien’.

Sistem modular ini juga dapat kita lihat dalam alam semula jadi, sebagai contoh spesis yang mempunyai kelainan genetik lebih berdaya tahan apabila diserang wabak. Manakala spesis yang mempunyai genetik yang serupa tanpa banyak variasi mudah diancam kepupusan apabila diserang wabak. Kelainan genetik ini adalah satu bentuk pengasingan atau modular genetik bagi tujuan perlindungan dan kelansungan spesis.

Begitu juga dengan berakhirnya era empayar dan kolonial dalam sejarah peradaban manusia. Ia diikuti dengan kebangkitan era nasionalisma dimana wujudnya negara bangsa. Di sini kita melihat manusia dipisahkan oleh imaginative barrier yang diwujudkan oleh manusia. Sempadan negara bukanlah satu physical reality menurut Yuval Noah Harari, ia merupakan fictional reality yang hanya diterima oleh manusia. Sempadan Malaysia-Thailand misalnya hanya terpakai untuk manusia tetapi tidak untuk monyet atau babi hutan. Monyet Malaysia boleh memasuki sempadan Indonesia tanpa memerlukan passport dan tanpa rasa bersalah. Hanya manusia yang percaya wujudnya sempadan negara berasaskan negara bangsa. Jika semua manusia berhenti mempercayainya, sempadan itu akan hilang dari menjadi suatu realiti.

Pemikir berideologi kiri yang percayakan semangat internasionalisma mungkin tidak menggemari sempadan dan pemisahan manusia berasaskan bangsa. Kerana ketaksuban kepada nasionalisma mempunyai tendensi untuk melahirkan penindasan atas ideologi fasis. Namun sistem modular berasaskan bangsa ini, dari satu sudut ada kebaikannya. Contohnya, jika ekonomi di antara modular ini tidak berintegrasi, kegagalan ekonomi Nigeria misalnya, tidak akan memberi kesan kepada Mexico. Atau kegagalan ekonomi Greece tidak akan menghancurkan ekonomi Sri Lanka sebagai contoh. Kerana masing-masing terpisah dalam modular bangsa.

Ia juga mempunyai kebaikan dari segi kelangsungan spesis Homo sapien. Hari ini sebagai contoh, kita dikejutkan dengan penularan virus baru yang dinamakan Coronavirus 2019-nCoV yang berasal dari Wuhan. Dengan sistem modular, Wuhan dapat ditutup dan diasingkan, sementara negara-negara lain juga boleh menutup sempadan untuk mengawal penularan wabak. Sama ada negara mahu tutup atau tidak, mungkin itu bergantung kepada strategi dan kiraan politik masing-masing, namun kemampuan itu ada. Di sini kita dapati nasionalisma mungkin ada gunanya, terutamanya dalam melukis sempadan yang tidak wujud bagi tujuan-tujuan pertahanan dan perlindungan. Tetapi tentu sahaja jika ia digunakan untuk penindasan, ia perlu kita tolak sama sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *