Oleh: Rien Sd

“Mendengar muzik itu bahkan kadangkala lebih fardhu daripada solat lima waktu.”

Mata mereka serentak mengintai senja yang hampir menghapuskan kelibatnya di dinding langit. Jarum waktu dipantau dengan rapi, malam kelam akan berkunjung membungkus awan dan bintang. Mereka perlu bersurai, menggulung tikar alas dan menyumbat pakaian basah ke dalam plastik. Pantai Irama hampir ditimbus oleh gelap pekat, mujur, majlis perbandaran sudah membaiki lampu jalan walau sebahagiannya masih buta tak bermentol.

“Entahlah, Zim.”

“Aku…” matanya melilau melihat ranting meliuk di atas kepala. Sesekali semut kecil yang berkawad di atas dahan-dahan tua diperhati dengan teliti. Dada berombak menanti kerongkongnya memuntahkan kata.

“Aku kadang lebih tenang mendengar muzik berbanding solat.”

Adzim tak pernah menyangka, seorang rakan yang pernah menjadi naqib usrah mengungkap kata-kata berbaur nifaq. Dia anak hingusan yang masih bertatih memahami ilmu nahu yang berselirat ketika di Madrasah  Al Jundiyyah, kira-kira lima tahun lalu.

Darda, anak Madrasah yang degil. Hampir semua murobbi di Madrasah maklum perangainya. Lagaknya sedikitpun tidak seperti saudara kandung Abu Dzar, sahabat Nabi.

“Darda, berapa kali guru kita pesan, muzik itu lagha!” lilitan serbannya dilerai satu-persatu.

“Melalaikan. Dicipta oleh kaum kuffar untuk menjunamkan kita ke lembah kesyirikan!” kain pelikatnya ditanggalkan. Tinggal seluar tiga suku dan baju polos putih.

“Muzik ni seni, Zim. Seni tu kan cantik. Kau lupa? Allah itu cantik, yuhibbul jamal, Zim. Dia suka akan kecantikan.” Darda membelek-belek kitab Adab Penuntut Ilmu karangan Imam Az Zarnuji. Adzim menggeleng sambil menghela dengus kesal. Nasi putih dan dua tin sardin dituang ke atas talam, mereka makan bejemaah di pondok aspura.

Lima tahun lalu, mereka kerap bertingkah tentang hal-hal seputar syariat. Kebetulan Madrasah Al Jundiyyah total bermazhab Syafie, maka gitar yang pernah dibawa oleh Darda ke dalam pondok aspura dirampas dan dipecahkan depan matanya oleh warden kediaman aspura.

“Tali yang bergeser, haram!” tengking warden.

“Bergeser dan menghasilkan bunyi. Kalau begitu, haramkan kami mendengar kicauan bunyi burung!” mata Darda berkaca. Selendangnya terlepas dari bahu, jatuh ke tanah. Tangannya bergetar mempertahankan pandangannya.

“Kau siapa, Darda? Kau lebih pandai daripada Imam Syafie?!” penghuni aspura mula mengintai di tingkap masing-masing. Senja itu mendung dan Darda masih berkeras.

“Habis tu, Ustaz siapa? Lebih pandai daripada Imam Ibn Hazm?!”

Mudir Madrasah Al Jundiyyah, Tuan Guru Rora sampai. Perkelahian itu dihentikan dan Darda diminta untuk pulang ke pondoknya.

Sejak peristiwa itu, Darda mula tidak disenangi oleh ramai pelajar madrasah. Termasuk Adzim rakan sepondoknya. Dia digelar ‘pelajar biadab’ kerana berani menentang pandangan guru-guru madrasah. Dua tahun pengajian, seleranya sudah luntur. Dia tidak merasa iman di situ. Bukan ini yang dicarinya.

“Aku tengah mencari sesuatu. Sesuatu yang aku sendiri tidak mengetahuinya.”

“Ini bukan masanya mencari-cari, Darda!” tempik Mak Cik Salmah, adik arwah ibunya yang menjaganya sejak berumur 10 tahun.

“Mencari adalah tugasku. Jangan letak aku di kandang itu. Aku tak perlu ketam untuk mengajarkanku bagaimana berjalan lurus,” tegas Darda.

“Pindahkan aku, kalau Mak Cik tak nak tanggung aku lagi, biar aku hidup sendiri.”

Adik-beradiknya bertaburan. Hilang tanpa jejak selepas kematian ibu mereka.

“Aku kadang lebih tenang mendengar muzik berbanding solat.”

Ungkapan Darda seminggu lalu ini, mengetuk-ngetuk gegendang telinga Adzim. Ada debaran yang menumbuk-numbuk dadanya ketika mengingat kata-kata ini. Adzim telah tamat peringkat ‘Alim di Madrasah Al Jundiyyah kira-kira setahun yang lalu. Kitab jawi tiada baris, nahu sorof, ilmu-ilmu syariat sudah dikuasainya. Dari setegas-tegas ilmu akidah hingga selunak-lunak ilmu tasawwuf di genggamannya. Hafazannya juga baik. Azannya adalah yang paling digemari oleh warga madrasah. Alunan taranum jiharkanya, mengulit dada yang sarat amarah. Mendayu-dayu dan menyenangkan. Walaupun dia pernah bertekak dengan Darda, sebelum ‘pelajar biadap’ itu pindah pusat pengajian.

“Zim.”

“Ya.”

“Kau yang azan Maghrib tadi?” tanya Darda.

“Ya. Kenapa?”

“Takdelah. Aku nak minta pandangan kau ni.”

Adzim mengangkat kepalanya. Kitab akidah Bakuroh ditutup. Adab pelajar madrasah, tidak membiarkan kitab ternganga ketika tidak mentelaahnya.

“Ha, apa dia?”

“Apa pendapat kau kalau aku kata yang orang sebenarnya tertarik dengan syahdu taranum kau berbanding mereka memahami magis isi azan kau?” dahi Adzim berkerut. Matanya menujah tajam ke arah Darda.

“Kau rasa orang suka azan kau tanpa taranum?”

“Entah,” bahu diangkat.

“Kau lupa Zim, azan dilaung pertama kali oleh seorang budak, hitam, hamba yang dihisab oleh tuannya di bawah terik mentari, Bilal Bin Rabah.”

Adzim mengangguk.

“Sengaja Nabi memilih Bilal, agar ungkapannya lebih asli. Tanpa taranum yang mendayu, Bilal telah menafikan kebesaran tuan-tuannya. Di atas bongkah batu yang lebih tinggi, dengan latar kulit hitam yang dianggap inferior ketika itu, dia melaungkan dengan dada yang terbuka serta kerongkong yang tak takut dibakar dengan keluli besi panas, Allahu Akhbar di khalayak ramai. Di hadapan para kaum taat dan ingkar,” Darda bersyarah.

“Bukankah ungkapan ini lebih jujur, tak berpura-pura dan terangkat ke langit tanpa hijab?” Adzim mengangguk. Hujah-hujah ini tidak termuat dalam kitab klasik lebih-lebih lagi kitab fiqih, fikirnya.

Darda tidak seperti anak-anak madrasah yang lain. Di toko buku, dia tidak hanya membeli kitab-kitab fikir karangan ulama-ulama klasik. Dia turut menghabiskan duit untuk membeli kitab agama yang lebih kontemporer karangan cendekiawan Islam zaman ini. Huraiannya tentang satu-satu permasalahan lebih deskriptif dan substantif. Kekurangannya adalah gemar menyanggah guru-guru ketika majlis pengajian. Bahkan selalu meninggalkan serban tanpa memakainya ke kelas pengajian.

“Aku kadang lebih tenang mendengar muzik berbanding solat.”

Adzim malu untuk memulai konversasi bersama Darda melalui pesanan ringkas. Dia takut Darda akan menghujat segala pandangannya dengan segala macam jargon yang tak pernah menyentuh gegendang telinganya.

Hanpir setiap malam, selalunya selepas menunaikan solat Isya’, Adzim akan teringat ungkapan itu. Betapa dia terpanggil untuk mempersoal peranan ritual agama sebagai upacara memapankan nalar dan spiritual beragama yang sudah semakin tertanggal dalam kalangan umat beragama hari ini.

Ritual agama kering dan kosong. Tidak mencapai matlamat spiritual yang lebih agung dan wahid berbanding fi’il agama yang tidak pernah difahami melainkan hanya menurut seakan-akan ayam mematuk-matuk di halaman rumah. Diskusi singkat bersama Darda ketika rehlah seminggu lalu telah membuka pintu rigiditi yang terkatup rapat selama ini dalam nalar agamanya. Adzim mula menganggap spiritual sebagai barang hilang yang perlu dicari. Ianya tidak hanya hadir dalam bentuk ritual agama yang terbentuk melalui dogma kewahyuan semata-mata. Mungkin, mendengar muzik, merenung pantai, memanjat gunung dan memberi makan haiwan gelandangan adalah spiritual yang lebih asli dan jujur.

Telefon bimbitnya dicapai, papan kekunci diketik.

Salam Darda, aku baru faham ayat kau ‘kadang mendengar muzik lebih tenang berbanding solat’.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *