Oleh: Naim Fahmi
Di Timur Tengah pada masa lampau, orang-orang Sufi begitu akrab dengan kopi. Mereka amat memerlukan minuman ini untuk kegiatan-kegiatan ritual. Fungsinya, “agar bisa berjaga malam” dan “agar sentiasa bertenaga” untuk melakukan wirid yang panjang.
Nama kopi dikatakan berasal dari bahasa Arab, “qahwah” yang bererti “kuat”. Pedagang-pedagang Eropah pula memanggil minuman orang Islam itu sebagai “kahveh” menurut sebutan Turki. Setelah kopi tiba di Belanda, ia disebut “coffee”. Manakala perkataan “kopi” pula disebut oleh warga Nusantara, sebaik sahaja diperkenalkan Belanda.
Di Aljazair, kopi kadang-kadang disebut sebagai “syadziliyah”, sebagai penghormatan untuk para wali Sufi dari Tareqat Syadziliyah yang mencintai kopi. Ada satu cerita masyhur, kononnya, pendiri tarekat ini iaitu Shaikh Abul Hasan asy-Syadzili enggan mengangkat murid yang belum mempunyai pekerjaan. Maka, kopi dipandang sebagai pendorong muridnya untuk bekerja.
Di Yaman pula, ratib Ya Qawiy diamalkan, dengan menjadikan minuman kopi sebagai peneman. Ratib khusus diperkenalkan dengan tetapan ulangan sebanyak 116 kali untuk memohon kekuatan ibadah. Dalam acara keramaian seperti majlis-majlis ilmu dan majlis berselawat, pengusung tarekat selalunya menghidangkan kopi sambil menikmati dendangan qasidah.
Pedagang-pedagang Muslim bertanggungjawab membawa biji kopi sebagai barang dagangan mewah ke serata Parsi, Afrika Utara dan Turki. Para Sufi pada awalnya memperkenalkan cara rebusan, namun orang Parsi menemukan cara memanggang biji kopi bagi menghasilkan aroma.
Inovasi membuatkan ia semakin popular untuk diperdagangkan. Lama-kelamaan, ratusan kahveh khaneh (rumah kopi) dibuka dari Istanbul sehingga Gelilea yang dihiasi budaya-budaya kesufian dan menghidupkan gaya hidup yang baru.
Orang-orang Yahudi paling cemas dengan perkembangan gaya hidup ini, sampai mereka dilema nak putuskan kopi ini kosher atau halal diminum. Akhirnya, mereka terpaksa putuskan umat Yahudi boleh minum kopi yang dibikin oleh Goyim, asal tidak menjejak kaki ke kahveh khaneh. Lebih afdol layan kepala di rumah saja. Hanya di Eropah, apabila sekularisasi tak dapat dibendung, barulah orang Yahudi berani membuka kedai kopi di Oxford pada abad ke-17.
Banyak ulama yang menulis kitab tentang kopi. Minuman ni di wacanakan dalam pelbagai sudut dan pernah menerima kontroversi halal-haram. Di kahveh khaneh yang semerbak aroma Arabika, para Sufi berbicara, berdiskusi tentang Tuhan, mendengar syair dan puisi, sambil bermain backgammon dan catur.
Hari ini, ramai pengusung Sufi moden percaya kopi adalah minuman kesukaan para wali. Sehingga ada “sanad minum kopi” bagi sesetengah pengusung Sufi. Rumah-rumah kopi pada suatu masa dahulu penuh dengan budaya religius dan unsur-unsur kesufian. Tidak seperti hari ini yang terbuka dengan pelbagai aktiviti sosial, malah menjadi gedung prestij bagi orang berada.