Susun atur huruf-huruf ini,
aku persembahkan kepada hidupan bergelar manusia,
kerana hidupan lain tiada otaknya.
Tatapan umum mahu saja golongan ketua,
pemimpin negara, pendeta-pendeta
atau saja ulama’ ulama’ terkemuka.

Ianya sudah cukup membuktikan;
bahawa bumi bertuah ini dilaknat tuhan.

Mereka ini,
membuka baju seluar tiada sembunyi,
berusaha bertelanjang tiada sepi.
Tiada sifat manusiawi- lainnya dapat bahang bencana tidak dikasihani.

Tanpa ikhtiar dari kepayahan,
oleh sebilangan dari kelompok kesulitan.
Takkan ada perjalanan,
untuk melihat dunia luaran.

Orang bertelanjang di hadapan dia!
hadapan kamu!
hadapan semua!
Tiada yang berani menegurnya,
kecuali malu melihat karenahnya,
orang tertunduk masih mengajarnya,

malah ditentang mengatakan perilakunya benar semuanya!

Dunia ini punya satu alam,
yang digelar kemodenan.
Namun ada kemunduran dan kesunyian didalam.
Adat dan budaya sudah semakin luput,
kerana keegoan kemajuan mereka.

Dilihatnya siapa bertelanjang sana,
dikongsi bersama dengan teman lainnya,
kononnya dia telanjang kerana gila.
Gila.

Manusia itu wujudnya perlahan.
Majunya untuk sebuah kehidupan
bukan idea kemodenan!
apalagi nama atau gelaran!

Dia telanjang kerana kecewakan cinta.
Bercerita dan mendapat perhatian semua,
orang mendengar pula percaya semuanya,
dengan apa yang didengarinya;
Berjuang bersama kongsikan keseronokan mereka.

Akhirnya bakal dilambung – dek zaman
hilang ketamadunan – lekang dek panas, lekang dek hujan

Proses penelanjangan itu,

membuat orang melihatnya merana.
Orang melihat mendapat impak yang sama,
habis punah susu sebelanga.

Aku sedih,
kerana cara kelahiran punya ragamnya.
Entah apa peranan?
jika lahir dari bukan rahim sedemikan.

Belas kasihan masih berpunya,
harta dan tempat bukan pemuas segalanya,
buat aku, kita tidak bertelanjang sama
mencari satu titik jalanan lainnya.

entah aku jadi peminta?
entah aku jadi pendusta?
entah aku jadi anak tanpa negara?
atau saja jadi anak seorang penjenayah?
Entah.

Sebatik (Wallace Bay)
20 Disember 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *