Oleh: Zafir Lukast

Belanjawan 2020 telah seminggu dibentangkan kepada umum.  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  bakal menerima peruntukan RM 30.6 bilion bagi membangun dan menaiktaraf infrastruktur kesihatan dan perlindungan kesihatan. Selain membina dan menaiktaraf hospital, klinik, serta perkhidmatan kesihatan, beberapa inisiatif baru turut diperkenalkan contohnya membenarkan pengeluaran KWSP bagi pasangan yang menjalani IVF serta rawatan kesihatan tanpa cukai.

Tetapi, berita yang paling baik adalah kerajaan komited untuk memperuntukkan sekitar 60 juta ringgit setahun bagi kemudahan vaksin pneumokokal diberikan secara percuma. Vaksin ini akan mula diberikan percuma bermula tahun 2020 untuk setiap kelahiran bayi warganegara Malaysia.

Vaksin sedia ada dalam program imunisasi kebangsaan adalah meliputi vaksin terhadap difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), polio, influenza, measles, beguk, rubella, hepatitisB, HPV, tuberculosis (batuk kering) dan Japanese encephalitis (bagi Sabah dan Sarawak). Vaksin-vaksin ini diberikan secara percuma kepada setiap warganegara Malaysia di premis-premis KKM bermula dari kelahiran sehingga menjangkau usia 15 tahun.

Vaksin bagi orang dewasa (dan vaksin tambahan seperti pneumokokal sebelum ini) serta bayi bukan warganegara Malaysia boleh diperoleh dari premis swasta dengan harga RM100 – 300 setiap suntikan.

JANGKITAN PNEUMOKOKAL

Vaksin pneumokokal diberikan bagi mencegah jangkitan pneumokokal yang diakibatkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan pneumonia – jangkitan pada kantung udara (air sacs) digelar alveoli dalam peparu kita. Jangkitan ini mengakibatkan gejala-gejala seperti batuk, kesukaran untuk bernafas, kesakitan ketika bernafas, demam berpanjangan.

Bakteria ini juga penyumbang terbesar pada gejala otitis media, jangkitan pada telinga tengah. Otitis media yang berpanjangan dan berulang-ulang boleh mengakibatkan komplikasi hilang pendengaran.

Jangkitan bakteria S. pneumoniae juga boleh mengakibatkan meningitis, jangkitan pada selaput luaran yang mengelilingi otak dan sepsis, jangkitan yang merebak kedalam sistem kapilari darah dan seterusnya merebak pada organ-organ penting seperti jantung, hati, ginjal dan otak. Gejala-gejala ini boleh mengakibatkan jangkitan akut yang membawa kematian.

STREPTOCOCCUS PNEUMONIAE: GUNTING DALAM LIPATAN

Sebenarnya, jangkitan pneumonia bukanlah hanya berakibat dari bakteria S. pneumoniae sahaja. Banyak bakteria dan fungus lain yang mengakibatkan jangkitan pada peparu. Namun, S. pneumoniae adalah antara penyumbang utama bagi pneumokokal pneumonia.

Bakteria S. pneumoniae adalah bakteria yang biasa ditemui dalam saluran pernafasan orang dewasa dan sebahagian besar kanak-kanak yang sihat. Bakteria ini biasa menjarah dan berkoloni dalam saluran respiratori, ruang hidung dan tekak tanpa mengakibatkan apa-apa gejala. Tetapi, bagi bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang lemah, ia boleh mengakibatkan jangkitan serius seperti yang diperincikan sebelum ini.

Seperti penjajah yang biasa, bakteria S. pneumoniae akan berkoloni di alveoli peparu. Tubuh akan mula bertindakbalas terhadap bakteria yang mula berkoloni di ruang udara kecik peparu dan mengarahkan reaksi keradangan berlaku. Reaksi keradangan (infalammatory reaction) adalah salah satu benteng pertahanan tubuh untuk melawan bakteria. Plasma, sel-sel darah putih yang menjana sistem imuniti akan diaruh oleh sitokin untuk ke lapangan yang dijajah bakteria tersebut.

Sitokin dirembeskan oleh sel imun yang digelar sel mast, fungsinya seperti semboyan perang bagi memanggil sel-sel dalam sistem imun lain untuk bersama melawan serangan bakteria. Sel seperti makrofaj akan datang untuk menelan bakteria dan menghapusnya dari kawasan jangkitan. Keradangan juga mengakibatkan pertambahan plasma pada kawasan jangkitan bagi mengangkut sel-sel darah dan sel imun ketempat tersebut. Semua ini menyebabkan sumbatan pada kantung alveoli yang kecil.

Kantung alveoli ini sepatutnya lohong, kecil dan nipis untuk memudahkan pertukaran udara ketika pernafasan berlaku. Bila terdapat jangkitan dan tubuh kita bereaksi terhadap jangkitan tersebut, kantung alveoli penuh dengan cecair dan sel-sel sistem imun. Inilah yang menyebabkan gejala sukar bernafas dan kesakitan apabila dijangkiti bakteria S. pneumoniae.

Bakteria S. pneumoniae senang tersebar melalui sentuhan, ciuman dan apa saja yang mendedahkan kita dengan titisan respiratori (respiratory droplets) individu yang membawa bakteria ini, tidak kira samada individu tersebut mengalami gejala jangkitan atau tidak.

Sebab itulah kita DILARANG sama sekali mencium bayi-bayi kecil sesuka hati. Walaupun mereka begitu comel, kita sebenarnya mendedahkan bahaya terhadap mereka. Kita tidak tahu bakteria apakah yang sedang kita bawa diruang hidung dan saluran pernafasan kita. Kita juga tidak mengetahui sama ada bayi tersebut akan sensitif dan tidak mampu melawan bakteria yang biasa tidak membawa jangkitan pada kita, tetapi membawa maut pada mereka.

VAKSIN PNEUMOKOKAL

Vaksin pneumokokal diberikan secara suntikan bagi mencegah jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae secara khusus.

Vaksin pneumokokal mengandungi polisakarida luaran bakteria S. pneumoniae. Polisakarida ini adalah jujukan gula yang unik hanya terdapat pada bakteria S. pneumoniae. Polisakarida ini tidak mampu untuk mengakibatkan jangkitan pada tubuh manusia. Hanya sebagai pengenalan bagi sel-sel imuniti tubuh kita mengecam dan mula membina pertahanan terhadap bakteria tersebut.

Jadi, bila terdapat bakteria S. pneumoniae memasuki tubuh, sistem imun tubuh cepat saja mengecamnya sebagai musuh dan membunuh bakteria ini sebelum ia sempat berkoloni dalam ruang alveoli. Terselamatlah bayi kita dari sebarang gejala jangkitan. Jika sempat menimbulkan jangkitan pun, cepat saja ia dimusnahkan dan tidak sehingga mengakibatkan jangkitan invasif keseluruh tubuh atau otak.

Vaksin pneumokokal selalunya diberikan pada bayi kecil berusia kurang dua tahun, kanak-kanak yang biasa terkena jangkitan peparu berulang-ulang, orang-orang tua yang berumur lebih 65 tahun dan orang-orang yang mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang menjalani kemoterapi, pesakit yang melalui transplantasi organ, penghidap HIV dan penyakit yang menyebabkan sistem imuniti teredam.

MENGAPAKAH KERAJAAN MALAYSIA KOMITED MEMBERIKAN PERLINDUNGAN TERHADAP PNEUMOKOKAL?

Peruntukan berjumlah RM60 juta untuk vaksin pneumokokal kepada semua sebagai keputusan bijak kerajaan menurunkan jumlah kematian dan pelbagai penyakit membabitkan sistem pernafasan dalam kalangan kanak-kanak. Vaksin meningkatkan sistem imun badan kanak-kanak dengan penurunan penyakit pneumokokal invasif, pneumoniadan otitis media akut.

Vaksin ini juga dapat juga mengurangkan masalah kesihatan bayi dan kanak-kanak sekaligus melindungi implikasi bebanan masa dan kewangan keluarga bagi tujuan rawatan. Jangkitan S. pneumoniae menyebabkan gejala jangkitan berpanjangan dan berulang-ulang. Jika dielakkan, ia  meningkatkan produktiviti kerana ibu bapa tidak perlu kerap mengambil cuti bekerja menjaga anak mereka di hospital. Secara tidak langsung, vaksin ini meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti ekonomi keluarga secara holistik.

RUJUKAN

Pletz MW, Maus U, Krug N, Welte T, Lode H (2008). “Pneumococcal vaccines: mechanism of action, impact on epidemiology and adaption of the species”. Int. J. Antimicrob. Agents. 32 (3): 199–206.

Barocchi M, Ries J, Zogaj X, Hemsley C, Albiger B, Kanth A, Dahlberg S, Fernebro J, Moschioni M, Masignani V, Hultenby K, Taddei A, Beiter K, Wartha F, von Euler A, Covacci A, Holden D, Normark S, Rappuoli R, Henriques-Normark B (2006). “A pneumococcal pilus influences virulence and host inflammatory responses”. Proc Natl Acad Sci USA. 103 (8): 2857–2862.

Teks Belanjawan 2020 (KKM) http://www1.treasury.gov.my/pdf/perbelanjaan/2020/B.42_P.42.pdf

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *